Tuesday, July 9, 2013

Puasa Ramadhan

Puasa atau di dalam Bahasa Arab صوم  secara amnya bermaksud 'menahan diri'. Dari segi istilah syarak pula, puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Ketika berpuasa, umat Islam dituntut untuk melipat-gandakan amalan ke atas Allah dan meninggalkan perkara-perkara lagho atau melalaikan. Sewaktu berpuasa juga, umat Islam tidak digalakkan untuk melakukan perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa sekaligus membatalkan puasa seperti menipu, berkata tidak sopan atau mengumpat, bertengkar atau mengganggu orang lain. Ini kerana, puasa merupakan suatu amalan dimana ianya melatih untuk memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak-ansur didalam diri yang secara tidak langsung menyuburkan sikap-sikap murni ke dalam diri setiap pengamalnya.

Puasa di bulan Ramadhan adalah Rukun Islam yang ketiga dan wajib ke atas umat Islam yang berakal, telah baligh dan juga tidak uzur. Syariat puasa Ramadhan telah difardhukan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun ke-2 Hijrah. Dalil yang mewajibkan berpuasa Ramadhan menurut Firman Allah S.W.T. "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa". Surah al-Baqarah:183. Menurut hadis Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An-Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud, "Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu Neraka serta dibelenggu segala syaitan...".

Berpuasa di bulan Ramadhan memperolehi pahala yang amat besar oleh umat Islam. Bagi mereka yang sengaja meninggalkan puasa, bukan sahaja telah melakukan dosa besar, malah juga mengalami kerugian kerana puasa Ramadhan tidak boleh ditebus dengan apa cara sekalipun dan ditukar-ganti walaupun berpuasa seumur hidup. Ini telah ditegaskan oleh sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud, "Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (uzur syarak) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup".- Hadis riwayat Tirmidzy, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah.

Lafaz niat puasa Ramadhan bermula dari terbenamnya matahari, iaitu masuknya waktu solat fardhu Maghrib sehingga sebelum terbitnya fajar siddiq (waktu Subuh). Oleh itu, lafaz niat puasa boleh dilakukan pada bila-bila masa diantara waktu tersebut walaupun ketika berbuka puasa.

Terdapat berbagai lafaz niat puasa di seluruh dunia. Namun begitu, ia tidaklah wajib ataupun sunat untuk dilafazkan di dalam Bahasa Arab, memadailah dengan apa jua bahasa yang senang kita fahami. Tetapi adalah lebih baik (afdhal) jika diamalkan di dalam Bahasa Arab kerana Bahasa Arab adalah Bahasa Al-Quran dan juga bahasa Baginda jujungan kita Nabi Muhammad s.a.w.

Berikut adalah beberapa keratan lafaz niat puasa yang sering kita amalkan:

Niat setiap malam yang ringkas dan mudah;


نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Ta'ala.

ataupun;


نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa esok kerana Allah Ta'ala.

Lafaz niat puasa yang lengkap adalah seperti berikut;


نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari bagi menunaikan puasa Ramadhan bagi tahun ini kerana Allah Ta'ala.

Namun begitu, menurut Imam Malik, amalan lafaz niat puasa untuk umat Islam dengan berniat puasa Ramadhan selama sebulan sekaligus yang dilafazkan pada malam pertama Ramadhan boleh juga dilakukan. Ini kerana untuk mengelakkan dari terlupa membaca niat puasa.


نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan bagi tahun ini kerana Allah Ta'ala.

Jika puasa Ramadhan terputus oleh sesuatu sebab seperti kedatangan haid, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan tadi tidak lagi memadai untuk hari-hari seterusnya, dan hendaklah diperbaharui dengan lafaz niat lain apabila tiada lagi halangan untuk berpuasa berturut-turut.  Maksudnya, lafaz niat dilakukan sekali lagi untuk puasa Ramadhan yang berbaki tadi, seperti;


نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ وَ إِلَى ءَاخِرِ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya:Sahaja aku berpuasa esok dan sehingga akhir Ramadhan ini kerana Allah Ta'ala.

Selepas menjalani ibadah puasa selama melebihi 12 jam, umat Islam akan berbuka puasa ketika matahari terbenam, iaitu waktu solat Maghrib bermula. Namun begitu, waktu berbuka bagi seluruh dunia adalah berbeza mengikut kawasan masing-masing.

Walaupun waktu berbuka yang berbeza-beza mengikut kawasan masing-masing, niat berbuka puasa adalah sama sahaja, iaitu;

اللهم لك صمت وبك امنت وعلى رزقك أفطرت

"Ya Allah, Aku telah berpuasa untuk kau dan pada Kau lah aku mempercayai dan aku berbuka puasa dengan apa yang Engkau berikan..".

No comments:

Post a Comment